--> Skip to main content

Polis periksa 1,711 pantau individu jalani kuarantin di rumah

Oleh Latifah Arifin

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pihak polis melakukan 1,711 pemeriksaan bagi memantau individu yang sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis dan Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan individu menjalani kuarantin mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin wajib di rumah ini yang menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 bukan saja kepada ahli keluarga mereka tetapi masyarakat.

"Orang ramai diminta untuk melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika melihat individu dengan gelang khas keluar di tempat awam," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ke-49 di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut berterima kasih kepada orang awam dan pengawal keselamatan di sebuah bank di Butterworth, Pulau Pinang yang peka dengan mengenal pasti individu memakai gelang kuarantin baru-baru ini.

"Saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada warga Butterworth, Pulau Pinang yang berwaspada dan peka dengan mengenal pasti individu dengan gelang kuarantin yang berbaris di sebuah bank baru-baru ini.

"Saya juga merakamkan terima kasih kepada pengawal keselamatan bank berkenaan kerana pantas mengambil tindakan untuk menghalang individu yang memakai gelang kuarantin ini daripada memasuki bank.

"Pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak bertanggungjawab seperti ini dan mereka yang masih tidak menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13 kuarantin wajib," katanya.

Katanya, mereka tidak lagi diberikan kompaun tetapi ditahan untuk didakwa di mahkamah.