--> Skip to main content

Polis Perak cari 3 PUS beri info salah

IPOH: Polis Perak sedang mengesan tiga individu dalam pengawasan (PUS) di negeri ini yang pulang dari luar negara namun masih gagal menjalani saringan kedua COVID-19 yang sepatutnya dilakukan pada hari ke-13..

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata tiga PUS itu dikesan memberi nombor telefon dan alamat yang salah.

"Secara keseluruhan Perak mencatatkan 2,140 PUS. Daripada jumlah itu 1,687 sudah tamat tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Baki 445 masih menjalani kuarantin di rumah sementara 3 lagi sedang dicari," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis dan Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Tambah Razarudin berkata, pihak polis memantau baki seramai 445 orang lagi PUS yang belum tamat tempoh HSO melalui 'Isolation Care'.

"Polis menghubungi semua PUS yang dapat dikenal pasti menggunakan 'video call' dengan 100 panggilan dibuat sehari dan mereka ini memang berada di rumah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, berhubung isu 'Makcik Wristband', Razarudin berkata, laporan siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan Pengarah Pendakwaan mengarahkan siasatan itu diteruskan Jabatan Kesihatan.

Katanya, bagi pihak polis siasatan kes ditanda sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Sementara itu, beliau berkata, seramai 2,160 orang individu ditangkap tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 19 Mac hingga hari ini.

Daripada jumlah berkenaan seramai 1,824 adalah warganegara manakala baki 336 orang adalah warga asing.

"Sehingga hari ini, seramai 1,663 orang yang sudah dikenakan tindakan dan 1,518 sudah dituduh di mahkamah," katanya.