Skip to main content

Polis awasi pusat sembelihan korban, kawasan kediaman

KUALA LUMPUR: Pihak polis akan membuat pemantauan menyeluruh sepanjang sambutan Aidiladha esok, tidak terhad kepada lokasi penyembelihan korban, sebaliknya turut membabitkan kawasan kediaman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk memantau setiap masjid, surau dan kawasan penyembelihan yang ditetapkan.

"Polis juga akan berada di setiap kampung untuk memantau pematuhan SOP, bukan sahaja di kawasan sembelihan tetapi di rumah seperti dilakukan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tempoh hari," katanya.

Beliau memberitahu sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang masuk hari ke-49, di sini, hari ini.