--> Skip to main content

Polis adakan sekatan di laluan pintu masuk utama Istana Negeri

KOTA KINABALU: Anggota polis mengadakan sekatan di laluan pintu masuk utama ke Istana Negeri, di sini, malam ini, susulan perkembangan terbaharu politik di negeri ini.

Tinjauan BH mendapati pintu masuk utama ke Istana Negeri turut dikawal ketat, manakala pengamal media kelihatan berkumpul sejak kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Bagaimanapun, kira-kira jam 10 malam tadi, anggota polis bertugas meminta semua pengamal media untuk mengosongkan kawasan di hadapan pintu masuk utama Istana Negeri.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dijangka bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri bagi menyerahkan surat akuan bersumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai menyokong pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Namun, belum ada sebarang pengesahan mengenai perkara terbabit, setakat ini.

Terdahulu, media melaporkan Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.