Skip to main content

PGA patahkan cubaan seludup kerbau, lembu

TUMPAT: Cubaan dua lelaki menyeludup dua kerbau dan seekor lembu dari negara jiran menggunakan float kuda (semi treler kandang haiwan) dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Chabang Empat, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi, berkata tiga haiwan ternakan itu dianggarkan bernilai RM20,000 dipercayai bagi jualan di pasaran tempatan.

Beliau berkata, mereka ditahan oleh sepasukan anggotanya selepas curiga dengan kenderaan terbabit.

"Anggota kita mengesan sebuah jip jenis Isuzu yang menunda float kuda dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Pemandu dan kelindannya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua kerbau betina dan seekor lembu jantan yang disyaki diseludup dari negara jiran.

"Ketiga-tiga binatang ternakan itu tidak mempunyai tag telinga, dokumen perjalanan dan permit pemindahan yang sah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azhari berkata, semua barang rampasan iaitu tiga binatang ternakan, jip serta float kuda dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM45,000 dibawa ke Balai Polis Chabang Empat, untuk tindakan lanjut oleh pihak berkenaan.

Beliau berkata, pemandu dan kelindan yang juga warga tempatan dan masing-masing berusia 35 serta 25 tahun juga turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan lembu serta kerbau itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan," katanya.