--> Skip to main content

Perez pemandu F1 pertama positif COVID-19

SILVERSTONE, United Kingdom: Sergio Perez menjadi pemandu Formula Satu (F1) pertama sejak permulaan musim positif COVID-19 dan terpaksa melupakan Grand Prix British hujung minggu ini.

Penganjur bagaimanapun akan meneruskan perlumbaan Ahad ini memandangkan insiden berkenaan dianggap "tidak memberi impak besar kepada perlumbaan".

"Susulan pengumuman Sergio didapati positif COVID-19 di Litar Silverstone menjelang Grand Prix British, pasukan dengan dukacitanya mengumumkan yang dia tidak akan menyertai perlumbaan hujung minggu ini," kata pasukan Racing Point.

Pemandu 30 tahun dari Mexico itu adalah pelumba F1 pertama dijangkiti COVID-19 sejak kejohanan bermula di Austria pada awal bulan ini.

Jika mengikut peraturan kuarantin British, Perez juga bakal terlepas pusingan kelima kejohanan, juga di Silverstone, pada hujung minggu depan.

Dia akan digantikan dengan seorang lagi pemandu Mexico Esteban Gutierrez atau Stoffel Vandoome dari Belgium untuk perlumbaan Ahad ini - pusingan keempat dalam kalendar musim ini yang tertangguh akibat pandemik.

Namun ada spekulasi mengatakan pemandu veteran Jerman Nico Hulkenberg mungkin dipanggil untuk menggantikan Perez.

Perez, yang membuat penampilan sulung F1 pada tahun 2011, berada di tangga keenam kejuaraan musim ini selepas tiga pusingan. - AFP