--> Skip to main content

Perancis wajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam tertutup

PARIS: Kerajaan Perancis mewajibkan pemakaian pelitup muka berkuat kuasa pada Isnin, dalam usaha mempertingkatkan pembasmian virus yang semakin membimbangkan serta mewujudkan banyak kluster baharu.

Pemakaian pelitup muka kini diwajibkan kepada semua yang berusia lebih 10 tahun di restoran dan hotel, kedai, pasar tertutup, muzium, pawagam, dewan konsert, rumah ibadat, lapangan terbang dan stesen, perpustakaan, pusat percutian, bangunan pentadbiran dan bank.

Keengganan mematuhi pemakaian pelitup muka di tempat awam tertutup akan dikenakan denda sebanyak 135 euro atau AS$154.7 (RM651).

"Ia berikutan terdapat tanda membimbangkan akan menularkan kembali wabak di tempat tertentu di negeri ini," kata Menteri Kesihatan, Olivier Veran kepada radio 'France Info' hari ini, lapor agensi berita Xinhua..

Sejak penarikan perintah berkurung pada 11 Mei lalu, pihak berkuasa kesihatan mengesan antara 400 hingga 500 kluster aktif COVID-19 terutama berpunca daripada perjumpaan keluarga ketika musim musim panas, kata menteri berkenaan.

"Kami mendapati penularan virus secara dinamik yang membimbangkan dan wajar diambil berat warga Perancis. Mereka inilah kunci dalam memerangi virus.

"Kita perlu terus berwaspada, bersiap sedia kerana semua senario tidak hanya dikaji, tetapi perlu diselesaikan," katanya.

Pada Jun lalu, majlis saintifik menasihatkan kerajaan berhubung COVID-19 dengan memperincikan empat senario situasi wabak masa depan berdasarkan kepantasan penyebaran virus dan kesesakan di hospital dengan menyarankan langkah-langkah untuk diaktifkan sebagai tindak balas.

Senario pertama menggambarkan 'wabak terkawal' kesan daripada perintah berkurung yang dikuatkuasakan hampir hampir dua bulan. Kemudiannya membawa 'kemunculan kluster kritikal' seterusnya ke peringkat 'hilang kawalan epidemik' hingga memaksa pihak berkuasa mengenakan semula peraturan yang membataskan pergerakan orang ramai.

Di seluruh negara, kadar penularan virus kini berada pada tahap 1.2 meningkat daripada 0.6 peratus pada minggu sebelumnya. Ini bermakna daripada 10 orang yang dijangkiti secara purata akan menjangkiti 12 orang yang lain, menurut Badan Kesihatan Awam.

Sehingga Jumaat lalu, jumlah kematiana akibat COVID-19 di Perancis seramai 30,152 orang dan membabitkan kira-kira 174,674 kes, meningkat sebanyak 836 jangkitan daripada tempoh 24 jam sebelumnya. - AGENSI