--> Skip to main content

Peragawati cabar diri bawa watak utama

KUALA LUMPUR: Dari dunia peragawati terjun ke bidang lakonan bukan senario baharu. Malah, ramai peragawati berjaya membuktikan kemampuan sebagai pelakon, bukan sekadar hebat di pentas peragaan.

Rita Nadira tidak terkecuali mengikuti langkah bintang hebat seperti Noor Kumalasari, Erra Fazira, Nasha Aziz dan Aleeza Kassim yang berjaya menonjolkan diri sebagai anak seni.

Selepas lima tahun bergelar peragawati, gadis jelita berusia 23 tahun itu turut mencabar diri bergelar pelakon. Memiliki pakej sempurna seperti ketinggian dan wajah yang rupawan, Rita dilihat boleh pergi jauh jika betul percaturannya.

Ketika ini, Rita sedang melunaskan baki penggambaran drama Juliet terbitan Zeel Production sebagai teraju utama.

"Saya masih aktif dalam dunia peragaan sehingga hari ini. Namun, saya memberanikan diri menceburi dunia lakonan sejak penghujung 2019.

"Ia berlaku secara kebetulan apabila pengurus mahu saya keluar daripada zon selesa. Saya sendiri tidak pernah terfikir dan mengimpikan bergelar pelakon.

"Pengurus banyak membantu dan memberi galakan untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan. Saya percaya minat akan datang sendiri jika saya berani melakukannya," katanya kepada BH Online.

Rita berkata, dia belajar banyak perkara baharu sejak melangkah ke dunia lakonan.

"Pengalaman inilah yang membuka luas mata saya untuk meneroka cabang seni yang baharu," katanya yang mula diperkenalkan menerusi telefilem Kisah Seram Hostel untuk siaran Astro Citra. Ia diikuti drama, Jujurlah Nikahi Aku siaran Astro Ria, awal tahun ini.

Menerusi drama Juliet untuk siaran RTM pula, Rita bergandingan buat kali pertama bersama Redza Rosli. Selain itu, ia turut dibintangi Rozita Che Wan, Mas Anizan dan Halmey Hamdah.

"Bagaimanapun, menerusi drama Juliet saya dicabar membawa watak utama. Awalnya, saya agak gementar, bergandingan pula dengan pelakon hebat seperti Redza.

"Saya masih hijau dalam dunia lakonan, tetapi Redza banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu saya di lokasi penggambaran drama.

"Kami sentiasa berbincang untuk memberikan lakonan terbaik untuk drama ini," katanya.

Rita berkata, dia juga mempunyai kakak yang turut bergelar peragawati, Rita Suraya. Bagaimanapun, kakaknya baru sahaja memilih untuk bersara daripada dunia peragaan.

"Secara jujur, saya terkejut dengan keputusan kakak untuk tidak berhenti di pentas peragaan. Bagaimanapun, saya menghormati apa yang sudah diputuskan.

"Saya sendiri tidak berapa lama jangka hayat saya mampu bertahan sebagai peragawati. Jika ada yang masih nak menggunakan khidmat, saya terbuka. Dalam masa yang sama, saya mahu terokai dunia lakonan.

"Buat masa ini, lakonan jadi fokus utama, manakala dunia peragawati pula pada tangga kedua," katanya.