--> Skip to main content

Penyanyi Ijam Majid Tangguh Lancar Single Kerana PKP

Penyanyi Ijam Majid Tangguh Lancar Single Kerana PKP Penyanyi Ijam Majid menangguhkan hasrat melancarkan single baru pada bulan Mac lalu kerana penularan wabak COVID-19.

Mahu mencari tapak yang lebih kukuh dalam dunia hiburan, Ijam baru sahaja muncul dengan single berjudul Permainanmu yang dicipta oleh Hery Sejagat.

"Sepatutnya lagu Permainanmu mahu dilancarkan pada Mac, namun begitu, kita melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi lagu ini dilancarkan pada bulan Jun.

"Alhamdulillah, setakat ini penerimaan orang ramai positif dan saya mendapat maklum balas yang baik. Saya akan lebihkan promosi selepas ini untuk memikat peminat baru, Insya-Allah," kata Ijam.

Dek kerana minat dengan irama rock, Ijam mengekalkan genre ini dalam single terbarunya.

"Saya pernah tampil dengan single genre rock berjudul Pejuang Cinta setahun yang lalu. Sebelum ini, iramanya lebih fast.

"Tetapi kali ini menerusi Permainanmu, saya muncul dengan sesuatu yang lebih perlahan iaitu pop rock.

"Saya percaya genre ini mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia dan saya berharap agar lagu ini menerima maklum balas positif peminat," katanya lagi.

Selain bergelar penyanyi, Ijam telah terlebih dahulu melibatkan diri dalam dunia lakonan semenjak tahun 2007 sehingga 2013.

Antara drama-drama lakonan Ijam ialah Kekasihku Seru, Tower 13, Juvana, Soffiya, Gemilang, Ujang & Acha, Lara Hati dan banyak lagi.

Selepas tahun 2013, Ijam menumpukan fokus terhadap perniagaan keluarga dan mula melibatkan diri dalam dunia nyanyian bermula tiga tahun lepas.