--> Skip to main content

Penempatan misteri ditemui di Kampung Wai

KANGAR: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan polis Perlis membongkar sebuah penempatan misteri disyaki digunakan pihak tertentu bagi tujuan tidak bermoral, di kaki Bukit Putih, Kampung Wai, Kuala Perlis.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata kawasan penempatan itu dikesan AKSEM Perlis ketika membuat rondaan rutin, pada Mac lalu.

Katanya, beberapa kawasan penempatan dan khemah khas turut ditemui dilengkapi dengan empat lubang misteri dan salah satu daripadanya dipenuhi air disyaki untuk tujuan tertentu, sebelum ditinggalkan kira-kira lebih setahun lalu.

"Kawasan ini terbahagi kepada beberapa seksyen dan binaan. Penempatan itu dipercayai dibangunkan untuk tujuan tertentu.

"Ada empat lubang dan tiga daripada digali dengan kedalaman tertentu. Satu daripadanya lubang itu dijadikan sebagai telaga disyaki untuk kegunaan harian mereka yang pernah menetap di penempatan ini.

"Namun, tiga lubang lagi kita percaya digali untuk mencari sesuatu. Kita syak ia digunakan sebagai penempatan sementara bagi tujuan mencari barangan berharga di kawasan bukit ini," katanya ketika ditemui melawat kawasan terbabit, petang semalam.

Surina turut meninjau kawasan sekitar penempatan terbabit dianggarkan seluas satu kilometer persegi, selain mengarahkan anggota polis membuat rondaan berkala di sekitar kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai aktiviti tidak bermoral oleh kumpulan terbabit di penempatan berkenaan, Surina berkata hasil siasatan pasukan khas Vatalion 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menemukan beberapa barangan peribadi wanita.

KAWASAN penempatan sementara yang dipercayai sudah ditinggalkan setahun lalu. KAWASAN penempatan sementara yang dipercayai sudah ditinggalkan setahun lalu.

"Pasukan VAT 69 turut menemui beberapa batang besi dan paip di dalam lubang terbabit dipercayai untuk tujuan mengesan kehadiran besi dan air.

"Menurut laporan VAT 69, jumlah kehadiran di penempatan terbabit adalah ramai. Hasil siasatan polis kawasan itu disyaki wujud aktiviti pencerobohan pihak tertentu bagi mencari harta simpan di sekitar bukit.

"Untuk mengaitkan aktiviti penyeludupan, kita tidak nampak kerana kesemua lubang terbabit digali tidak sampai ke penghujung bukit, selain jarak dari sempadan melalui bukit adalah lebih enam kilometer. Kawasan berkenaan itu juga berhampiran dengan penempatan penduduk," katanya.

Surina berkata, pihaknya memandang serius penemuan itu dan akan mengawal lebih di sekitar kawasan berkenaan.