--> Skip to main content

Peminjam tidak dimasukkan CCRIS sepanjang lanjutan moratorium

KUALA LUMPUR: Fleksibiliti pembayaran yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh lanjutan moratorium ini tidak akan dinyatakan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini, peminjam dikehendaki memohon secara terus dengan bank masing-masing bagi mendapatkan fleksibiliti pembayaran daripada lanjutan moratorium itu mulai 7 Ogos ini.

"BNM telah menyarankan kepada pihak bank supaya mempermudahkan proses permohonan dan keperluan dokumentasi untuk peminjam.

"Menyedari akan keadaan yang luar biasa ini, fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan keluar dalam laporan CCRIS peminjam," katanya.

Bank pusat itu berkata, peminjam yang mempunyai pinjaman dengan lebih daripada satu bank tidak perlu bimbang kerana mereka boleh dibantu melalui khidmat pusat "sehenti" yang relevan untuk mendapatkan pakej bantuan pembayaran balik yang bersesuaian.

Katanya, bagi individu, mereka boleh merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

manakala untuk PKS, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS).

"BNM akan memantau kemajuan pelaksanaan inisiatif yang dijalankan oleh institusi perbankan bagi membantu peminjam yang masih menghadapi kesulitan kewangan sementara.

"BNM juga akan terus menumpukan usaha bagi memastikan sistem perbankan terus menjalankan fungsi perantaraannya dengan berkesan dalam menyokong pemulihan ekonomi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai lanjutan moratorium itu, BNM berkata, menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September ini, BNM telah bekerjasama rapat dengan institusi perbankan dalam usaha memastikan bantuan terus diberikan kepada peminjam yang terjejas akibat COVID-19.

Katanya, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang terjejas akibat COVID-19 melalui pelan pembayaran balik dan pengaturan lain yang bersesuaian dengan keadaan spesifik setiap peminjam.

"Pendekatan yang lebih bersasar bagi membantu peminjam individu dan PKS ini adalah selaras dengan kawalan pergerakan yang telah dilonggarkan sejak awal Mei.

"Semenjak itu, hampir kesemua perniagaan dalam sektor ekonomi telah memulakan operasi dan semakin ramai rakyat Malaysia yang telah kembali bekerja.

"Sehubungan dengan itu, banyak peminjam yang awalnya memilih untuk menyertai moratorium ini telah mula menyambung semula pembayaran balik pinjaman," katanya.

Namun demikian katanya, situasi adalah terus mencabar bagi sesetengah pihak dalam aspek pendapatan dan aliran tunai, terutamanya mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan.

"Dalam hal ini, pendekatan bersasar boleh memastikan bahawa sumber kewangan dan perhatian dapat diberikan keutamaan untuk golongan yang paling memerlukan," katanya.