--> Skip to main content

Pembukaan semula ekonomi rangsang perniagaan, eksport

KUALA LUMPUR: Langkah pemulihan ekonomi serta pembukaan semula perniagaan oleh kerajaan memberikan impak positif kepada ekonomi negara, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, langkah pemulihan kerajaan itu memberikan impak dengan eksport negara juga berkembang 8.8 peratus pada Jun 2020, kepada RM82.9 bilion.

Ia katanya menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion, nilai tertinggi yang pernah direkodkan.

"Ini satu perkembangan positif berbanding data Mei 2020, di mana perdagangan Malaysia menguncup sebanyak 27.8 peratus tahun ke tahun, dan prestasi eksport menurun 25.5 peratus bulan ke bulan.

"Indeks Pengeluaran Perindustrian turut meningkat 18.2 peratus pada bulan Mei 2020 berbanding April 2020. Sektor pembuatan melonjak 25.9 peratus manakala sektor elektrik meningkat 13.7 peratus pada tempoh yang sama.

"Jualan sektor pembuatan adalah RM90.2 bilion bagi Mei 2020, lonjakan 19.1 peratus berbanding April 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, jumlah peminjam individu yang meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium turut meningkat kepada 601,000 peminjam pada Julai berbanding 331,000 peminjam pada April

Beliau berkata bagi peminjam PKS pula, sebanyak 13,000 peminjam tidak mengambil kemudahan yang ditawarkan kerajaan itu berbanding 5,000 peminjam pada tempoh yang sama.

Katanya, walau bagaimanapun, kerajaan sedar bahawa usaha pemulihan dan pembangunan ekonomi masih di tahap awal.

"Masih ada rakyat dan perniagaan yang memerlukan sokongan tambahan untuk bangun semula. Dalam keadaan yang tidak pernah kita alami sebelum ini, kerajaan juga ingin mengelakkan satu keadaan di mana peminjam menghadapi kekangan kewangan yang berterusan apabila berakhirnya moratorium secara am pada 30 September 2020.

"Bagi mereka yang mampu, bayaran balik pinjaman perlu diteruskan mulai 1 Oktober 2020 bagi memastikan kitaran modal yang mampan untuk memulih dan menjana semula pertumbuhan ekonomi negara," katanya.