--> Skip to main content

Pemandu lori maut, anggota polis peronda lebuh raya parah

MUALLIM: Seorang anggota polis peronda lebuh raya parah manakala pemandu lori maut dalam kemalangan di Kilometer 383.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Mazuan Shah Nuruddin, 34, parah selepas patah tulang rusuk sementara pemandu lori, Mohd Hairi Zainal, 42, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata polis menerima laporan kejadian itu pada jam 2 pagi membabitkan sebuah kereta peronda polis lebuh raya dengan dua lori muatan tiga tan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika polis peronda lebuh raya memeriksa sebuah lori muatan tiga tan yang membawa bungkusan.

"Apabila pemandu lori turun, seorang anggota polis menghampirinya untuk pemeriksaan, tiba-tiba sebuah lori dari belakang hilang kawalan lalu merempuh belakang lori yang sedang ditahan polis itu di lorong kecemasan.

"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua lori itu berganjak sejauh 16 meter dan mengheret anggota polis serta pemandu lori yang berada di depan kenderaan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian manakala anggota polis patah tulang rusuk," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, anggota polis yang parah dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.