--> Skip to main content

Pelupusan kediaman dikecualikan CKHT hingga 2021

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Jun lalu hingga 31 Disember 2021, rakyat Malaysia diberikan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi pelupusan rumah kediaman.

Perkara itu secara rasminya digazetkan dalam warta kerajaan pada Selasa lalu, menerusi Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2020, yang dibuat mengikut Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

Menerusi perintah itu, rakyat Malaysia diberikan pengecualian cukai keuntungan itu bagi pelupusan kondominium, pangsapuri atau rumah pangsa, pangsapuri perkhidmatan dan pejabat kecil pejabat rumah (SOHO), terhad kepada tiga unit harta kediaman dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, perintah itu menjelaskan pengecualian CKHT itu hanya bagi kediaman yang diperoleh sebelum 1 Jun lalu jika ia dibuat secara pemindahan hak milik atau pemberian.

"Perjanjian jual beli bagi pelupusan harta kediaman itu perlu disempurnakan pada atau selepas 1 Jun 2020, tetapi tidak lewat daripada 31 Disember 2021 dan disetemkan dengan sewajarnya tidak lewat daripada 31 Januari 2022.

"Jika tiada perjanjian jual beli, surat cara pindah milik bagi pelupusan harta kediaman itu disempurnakan pada atau selepas 1 Jun 2020, tetapi tidak lewat daripada 31 Disember 2021 dan disetemkan dengan sewajarnya tidak lewat daripada 31 Januari 2022.

"Jika pelupusan harta kediaman melebihi tiga unit, pelupus boleh memilih mana-mana tiga daripada pelupusan harta kediaman itu untuk dikecualikan dan pilihan yang dibuat tidak boleh ditarik balik," jelas perintah itu.

Bagi pelupusan harta kediaman yang memiliki kontrak bersyarat dan memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan atau Negeri, pengecualian CKHT terpakai jika kontrak pelupusan itu disempurnakan pada atau selepas 1 Jun 2020 tetapi tidak lewat daripada 31 Disember 2021, dan disetemkan dengan sewajarnya tidak lewat daripada 31 Januari 2022.

"Kelulusan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri bagi pelupusan harta kediaman itu perlu diperoleh pada atau selepas 1 Jun 2020," katanya.

Pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang antara lain menggariskan pengecualian CKHT bagi merancakkan pertumbuhan sektor hartanah, yang terjejas akibat penularan COVID-19.