--> Skip to main content

Pelanggan kedai nasi kandar di Napoh diminta jalani saringan COVID-19

JITRA: Orang ramai yang makan di sebuah kedai nasi kandar di Napoh di sini antara 13 hingga 24 Julai lalu, diminta menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.

Ia susulan Kementerian Kesihatan mengesahkan pengusaha kedai makan terbabit positif COVID-19 selepas menjalani saringan kedua dan lima pekerja kedai makan terbabit turut didapati positif.

Mereka yang positif itu adalah pekerja kedai warganegara asing termasuk anak lelaki pengusaha premis berkenaan yang kini semua dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata kedai nasi kandar itu diarahkan tutup serta-merta sejurus pemiliknya yang positif COVID-19 ditahan 23 Julai lalu.

Beliau berkata, pengusaha kedai makan terbabit didapati ingkar perintah kuarantin di rumah dan berada di kedai berkenaan yang dibuka kepada pelanggan antara 13 hingga 24 Julai lalu.

"Kita minta mereka yang makan dan mempunyai kontak rapat kepada pengusaha serta pekerja kedai untuk segera ke pejabat kesihatan daerah atau klinik kesihatan berdekatan menjalani ujian saringan.

"Kita bimbang jika langkah ini tidak diambil segera, berkemungkinan ramai lagi dijangkiti COVID-19," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Pada 23 Julai lalu, polis menahan pengusaha kedai nasi kandar terbabit berusia 57 tahun kandar kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu.

Lelaki itu ditahan di kedainya dalam keadaan masih memakai gelang merah jambu menyebabkan dia dikompaun RM1,000 serta merta.

Tinjauan di lokasi kedai nasi kandar terbabit hari ini mendapati premis itu ditutup sepenuhnya dan dipantau anggota polis selain orang ramai tidak dibenarkan menghampiri kawasan berkenaan.

Notis arahan penutupan premis yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan turut ditampal di kedai berkenaan.