Skip to main content

Pakar China syor Hong Kong laksana ujian menyeluruh COVID-19

Guangzhou: Pakar respiratori China, Zhong Nanshan, menggesa saringan asid nukleik secara menyeluruh dilaksanakan di Hong Kong, susulan peningkatan kes COVID-19.

Dalam satu temuramah bersama Xinhua, Zhong menasihatkan Hong Kong untuk meningkatkan ujian bagi mengesan pesakit tidak bergejala, termasuk mereka yang berisiko tinggi menyebarkan jangkitan.

"Saya menyarankan saringan asid nukleik secara meluas di Hong Kong, selain mengesan dan kuarantin pesakit, untuk mengurangkan jangkitan antara manusia.

"Saya menyokong penuh ujian asid nukleik menyeluruh di Hong Kong walaupun ia amat mahal," katanya sambil memberitahu harga ujian sudah diturunkan kepada 90 yuan (RM36.53), berbanding lebih HK$1,000 (RM548) di Hong Kong.

Selain itu, kata Zhong, semua penduduk Beijing juga bekerjasama dan bersatu dalam menangani pandemik COVID-19, kerana mereka berdepan peraturan ketat selama lebih 20 hari.

"Walaupun amat tidak selesa, kami sedar ia penting bagi mengurangkan sumber jangkitan dengan kadar segera," katanya.

Hong Kong melaporkan 118 kes tambahan COVID-19 semalam, menjadikannya hari kelapan jangkitan harian melepasi angka 100.

Jangkitan dalam kalangan masyarakat sudah mula berlaku di Hong Kong, namun pakar berpendapat mereka tidak melihat pertumbuhan kes baharu seperti mana disaksikan di negara Barat. - AGENSI