--> Skip to main content

Orang Asli bina semula 4 jambatan runtuh

GUA MUSANG: Sekumpulan 20 Orang Asli dari Pos Balar di sini sanggup bermalam di hutan untuk mengumpulkan lebih 300 batang kayu untuk membina semula empat jambatan yang runtuh.

Pembinaan semula jambatan berkenaan bagi membolehkan mereka menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balar yang baharu dibuka hari ini untuk Tahun Satu hingga Tahun Empat.

Tok Batin Pos Balar, Alek Busu, berkata penduduk terpaksa berbuat demikian bagi membolehkan motosikal melalui lalui jambatan berkenaan sekali gus mengatasi masalah mereka terputus hubungan sejak enam hari lalu.

Selain membina enam jambatan kecil, penduduk juga bergotong-royong membaiki jalan berselut sejauh 25 kilometer supaya lebih mudah dilalui.

"Kita mula bersama 40 penduduk kampung bergotong-royong membina jambatan sementara dan membaiki jalan rosak itu sejak Ahad lalu," katanya ditemui di sini.

Empat jambatan kecil runtuh dan jalan sepanjang 25 kilometer menghubungkan pos itu rosak teruk akibat banjir lumpur susulan hujan lebat Jumaat lalu.