--> Skip to main content

Najib selesai bayar ikat jamin RM1 juta

KUALA LUMPUR: Sehari selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan membabitkan SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi semalam, Datuk Seri Najib Razak hadir sekali lagi membayar ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu hadir pada jam 1 tengah hari ditemani anak lelakinya, Norashman, selaku penjamin.

Kira-kira setengah jam kemudian, Najib dilihat keluar dari kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi selepas selesai membayar ikat jamin.

Sebelum beredar meninggalkan perkarangan mahkamah, Najib sempat berseloroh kepada petugas media yang menunggu dengan berkata, "semalam dah banyak gambar."

Najib kemudian beredar dari mahkamah dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Najib, 67, membayar ikat jamin RM1 juta itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memerintahkan Najib melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.