--> Skip to main content

Musa dihalang masuk Istana Negeri

KOTA KINABALU: Kenderaan rombongan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dihalang daripada memasuki laluan ke Istana Negeri di sini, petang ini.

Beberapa kereta dalam rombongan itu masih tersekat pada pintu masuk ke Istana Negeri dan kawasan terbabit dikawal ketat anggota keselamatan.

Tinjauan BH mendapati rombongan tersebut tidak dibenarkan masuk sekitar jam 3.50 petang tadi.

Turut kelihatan peguam kepada Musa , Tengku Fuad Tengku Ahmad, yang telah keluar dari kenderaan berwarna hitam dipercayai bersama 33 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengikut beliau.

Kenderaan yang dinaiki Tan Sri Musa Aman bersama rombongan dihalang memasuki laluan Istana Negeri. - Foto Juwan Riduan Kenderaan yang dinaiki Tan Sri Musa Aman bersama rombongan dihalang memasuki laluan Istana Negeri. - Foto Juwan Riduan

Sususulan halangan yang dihadapi, beberapa individu dipercayai peguam kepada Musa, dilihat cuba berbincang dengan polis yang membuat sekatan.

Bagaimanapun, setakat kira-kira jam 4.10 petang tadi, mereka masih belum dapat melepasi sekatan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Musa sebagai mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah iaitu 33 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, semalam.

Pagi tadi, Shafie mengumumkan DUN Sabah yang ketika ini mempunyai 65 kerusi itu, dibubarkan dengan perakuan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah.