--> Skip to main content

Muafakat Nasional hulur pelawaan rasmi kepada BERSATU - Annuar

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional telah membuat pelawaan rasmi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai pakatan itu, kata Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU, telah membincangkan perkara itu sejak berbulan lalu.

"Kira-kiranya kami sudah mempelawa secara rasmi, namun kami tidak tergesa-gesa.

"Setiap parti ada prosedur, termasuk membawa cadangan itu ke Majlis Tertinggi parti masing-masing untuk dibincangkan.

"Kami hanya menunggu keputusan mereka. Apa yang penting bagi BERSATU, UMNO dan PAS ialah kita harus mengekalkan hubungan kerjasama yang harmoni," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Awam Bukit Kiara, di sini, semalam.

Muafakat Nasional adalah kerjasama politik UMNO dan PAS yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkeyakinan perkara itu akan selesai menjelang ulang tahun pertama kerjasama berkenaan. – BERNAMA