--> Skip to main content

Mira tersentuh nasib pelakon veteran

KUALA LUMPUR: Hati aktres, Mira Filzah tersentuh melihat nasib pelakon veteran yang hilang punca pendapatan selepas terlantar sakit.

Sehubungan itu, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, mengusulkan idea dan mahu memperjuangkan pembayaran royalti pelakon veteran kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix.TV, Syah Mohamed.

Menurutnya, penstriman televisyen dalam talian Islamik itu boleh menjadi platform pertama yang memberikan royalti kepada pelakon dan kru belakang tabir dalam penghasilan kandungan untuk siaran Nurflix.TV.

"Apa yang saya nampak, ada sesetengah pelakon veteran sudah tidak berdaya untuk bekerja lagi. Bagaimanapun, banyak drama lakonan mereka masih diulang tayang tak kira di kaca TV mahupun platform digital.

"Tetapi, mereka tidak memperoleh sebarang faedah penayangan semula. Ia menimbulkan rasa simpati di hati saya apabila melihatkan keadaan yang tidak mempunyai kudrat untuk bekerja, seterusnya hilang punca pendapatan.

"Ada antaranya terlantar sakit hingga terpaksa merayu bantuan. Seperti diketahui, golongan artis bekerja secara sambilan dan tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan insuran, lebih lagi orang lama. Jadi, ini sahaja inisiatif yang saya lihat dapat membantu mereka," kata Mira yang bakal mengendalikan program Mira-Mira On The Wall di platform penyiaran digital berkenaan.

Aktres yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2019 itu berkata, dia yakin setiap drama yang dimainkan semula pasti menjana pendapatan menerusi penyiaran iklan. Justeru, Mira mempersoalkan kenapakah keuntungan tidak dikongsikan kepada pelakon yang terbabit?

Pelakon yang mencuri tumpuan menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan, Pujaan Hati Kanda, Sweet Dreams dan terbaharu, Adellea Sofea itu berkata, kesedaran memperjuangkan nasib anak seni timbul selepas membaca penderitaan hidup bintang hebat seperti Wan Maimunah dan kru balik tabir yang ditimpa sakit.

Buat masa ini, katanya, perkara itu hanya diusulkan kepada Nurflix.TV dan ia mendapat maklum balas baik daripada Syah.

"Sebenarnya, perkara ini saya usulkan kepada Nurflix.TV menerusi perbualan santai dengan Syah. Saya mencadangkan bayaran royalti diberikan setiap karya anak seni ditayangkan. Setakat ini, mereka menerima baik cadangan berkenaan.

"Jadi, saya berharap isu royalti ini dapat disebarkan dari mulut ke mulut supaya sumber pendapatan anak seni tak akan terhenti hingga akhir hayat, selagi karya masih ditayangkan," katanya kepada BH Online.

Akibat kekangan masa, kata Mira, dia tidak dapat membawa isu berkenaan ke peringkat lebih tinggi kerana menyedari ia perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Katanya, mengenai isu royalti, ada perbincangan bersama penerbit dan pengarah secara santai, namun berharap ia akan disebarkan supaya nasib anak seni akan terbela suatu hari nanti.