Skip to main content

Meter pintar bantu pengguna pantau penggunaan elektrik

MELAKA: Rungutan dan aduan mengenai kenaikan bil elektrik ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), mencetuskan beberapa perdebatan.

Namun, tatkala segelintir pengguna merungut mengenai kenaikan bil elektrik, ada dalam kalangan masyarakat yang berlapang dada selepas menerima jumlah bayaran utiliti mereka yang tepat.

Bagi mereka, setiap penggunaan tenaga menerusi sistem meter pintar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu dilunaskan kerana perkiraan oleh agensi berkenaan sudah pasti berdasarkan kepada jumlah digunakan harian pengguna.

Pemasangan meter pintar bukanlah isu kepada kenaikan harga bil elektrik mereka, tetapi cara penggunaan tenaga elektrik di kediaman atau premis masing-masing perlu berhemah supaya tidak terbeban dengan kos bulanan bagi membayar bil utiliti berkenaan.

Pengguna dari Kampung Tehel, Jasin, Rahim Selamat 59, mengakui pemasangan meter pintar itu memberi lebih kemudahan kepadanya untuk melihat sendiri tahap penggunaan elektrik semasa di kediamannya menerusi aplikasi MyTNB yang dimuat turun di telefon pintarnya.

Rahim melayari aplikasi MyTNB untuk mendapat maklumat penggunaan elektrik rumahnya. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman Rahim melayari aplikasi MyTNB untuk mendapat maklumat penggunaan elektrik rumahnya. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Katanya, sejak bertukar kepada meter pintar beberapa tahun lalu, dia mampu mengehadkan penggunaan tenaga elektrik bagi mengelakkan pembaziran.

"Saya mengakui sepanjang tempoh PKP dan PKPB caj elektrik di rumah naik sehingga sekali ganda dan saya rasa ia wajar kerana semua ahli keluarga hanya duduk di rumah sepanjang masa sambil menggunakan banyak barangan elektrik seperti penghawa dingin, kipas, televisyen dan lampu.

"Ia ditambah dengan aktiviti ibadah sepanjang Ramadan termasuk menggunakan ketuhar untuk memasak kuih raya. Jadi, memang patut pun caj penggunaan elektrik meningkat," katanya.

Penduduk, Omar Asad. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman Penduduk, Omar Asad. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Turut senada, Omar Asad, 59, yang mengakui penggunaan meter pintar lebih baik berbanding meter lama.

Katanya, menerusi aplikasi MyTNB pula, beliau dapat melihat tahap penggunaan elektrik serta membandingkannya setiap bulan.

"Sebenarnya kita membayar apa yang kita sendiri gunakan. Jika kita guna lebih, bermakna banyaklah yang perlu dibayar dan menerusi meter pintar itu juga, bacaan penggunaan harian yang direkodkan lebih tepat berbanding sebelum ini.

"Malah, kita dapat memantau penggunaan semasa serta membuat bayaran secara dalam talian," katanya.

Pemandu e-hailing, V Varatharaju, 57, yang tinggal di Melaka Baru, di sini berkata, sejak bertukar kepada meter pintar pada Januari tahun lalu, mengakui dapat mengawal penggunaan elektrik di kediamannya setiap masa.

Varatharaju melihat meter pintar yang dipasang di kediamannya di Batu Berendam, Melaka. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman Varatharaju melihat meter pintar yang dipasang di kediamannya di Batu Berendam, Melaka. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Beliau yang berpengalaman kerja berkaitan dengan pendawaian elektrik, mengakui lebih selesa menggunakan meter pintar kerana ia dijamin selamat kerana alat peranti itu merekodkan maklumat tepat mengenai penggunaan tenaga.

"Setiap ahli keluarga perlu diingatkan setiap hari supaya tidak membuat pembaziran elektrik serta perlu bijak menggunakannya. Mujur rumah saya tidak menggunakan penghawa dingin menyebabkan kenaikan bil bulanan tidak membebankan," katanya.

Bagi guru piano, Gan Shel Se, 34, dari Taman Jati, Batu Berendam, di sini sebelum PKP dikuatkuasakan, dia dan isterinya jarang berada di rumah kerana masing-masing bekerja dan hanya berada di rumah pada waktu malam.

Bagaimanapun, katanya apabila PKP dilaksanakan, ditambah pula dengan penguatkuasaan PKPB, penggunaan elektrik di rumahnya meningkat lebih sekali ganda kerana seharian berada di rumah.

"Sebelum PKP, caj elektrik bulanan di bawah RM180, namun ia meningkat sehingga RM230 bermula Mac hingga Mei lalu kerana sepanjang berada di rumah, hampir semua penggunaan alat elektronik digunakan sepanjang masa.

"Justeru, tidak wajar menyalahkan kepada pemasangan meter pintar yang kononnya menyebabkan caj naik mendadak, sedangkan penggunaan elektrik harian melebihi had," katanya.

Beliau turut berpuas hati menggunakan aplikasi MyTNB kerana ia boleh merekodkan penggunaan lebih dari satu akaun iaitu akaun bil elektrik di kediamannya serta premis perniagaannya.

Norizzah menggunakan perkakasan elektrik di kediamannya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman Norizzah menggunakan perkakasan elektrik di kediamannya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Bagi pesara kerajaan dari Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, Norizzah Md Nor, 64, sebagai pengguna yang bertanggungjawab, mereka tidak perlu mempertikaikan jumlah bil yang perlu dibayar kerana perkiraan dibuat oleh TNB merujuk kepada jumlah penggunaan setiap hari.

Katanya, menerusi meter pintar, pengguna dapat menilai sejauh mana penggunaan elektrik masing-masing dan ia sudah pasti lebih memudahkan selain memberi kebaikan kepada mereka.

"Saya tidak berdepan sebarang masalah sejak menggunakan meter pintar, malah ia lebih mudah dan memberi manfaat kepada saya.

"Sebenarnya, meter pintar dapat menggalakkan lagi penjimatan tenaga yang mampu mengurangkan bayaran bil bulanan dan pada masa sama, saya dapat mengakses maklumat mengikut masa sebenar penggunaan elektrik menerusi aplikasi MyTNB," katanya.