--> Skip to main content

Liga bola sepak China disambung Sabtu ini

SHANGHAI: Liga Super China (CSL) bakal disambung semula pada Sabtu ini seperti yang dirancang selepas semua pemain yang didaftarkan sebelumnya disahkan negatif ujian coronavirus.

Seramai 1,870 orang termasuk pemain dan kakitangan, menjalani ujian ketika mereka memasuki `gelembung' selamat yang direka untuk mencegah penularan virus berkenaan.

"Semua disahkan negatif," kata CSL.

"Semua pemain akan menjalani ujian coronavirus seminggu sekali ketika rehat dan perubahan jadual musim ini," menurut laporan agensi berita Xinhua.

Sebanyak 16 pasukan bakal bertanding pada kempen kali ini yang dibahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan ditempatkan di Dalian manakala satu lagi di Suzhou, dekat sini, sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan pencegahan coronavirus.

Semua pemain, kakitangan dan pegawai pasukan terbabit di tempatkan di hotel yang sama di setiap bandaraya berkenaan dan mereka tidak dibenarkan bertemu keluarga masing-masing sepanjang tempoh dua bulan pertama.

Saingan musim ini yang sepatutnya bermula pada Februari lalu sebelum ditangguhkan akibat penularan coronavirus, bakal dimulakan dengan pasukan juara liga bimbingan Fabio Cannavaro, Guangzhou Evergrande bertemu pemenang Piala FA, Shanghai Shenhua di Dalian.

Dalam pada itu, Wuhan Zall, kelab yang berpengkalan di bandaraya ketika pandemik coronavirus mula dikesan, akan bertemu dengan pasukan baru dinaikkan, Qingdao Huanghai di Suzhou.

Semua perlawanan akan diadakan secara tertutup.

- AFP