Skip to main content

Letupan di klinik, 13 terkorban

TEHRAN: Letupan kuat di sebuah klinik di utara Tehran mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang hari ini.

Menurut agensi berita ISNA, yang memetik sumber khidmat perubatan kecemasan (EMS), letupan di pusat kesihatan Sina At'har itu menyebabkan kerosakan pada bangunan bersebelahan selain asap hitam berkepul memenuhi ruang udara.

EMS, dalam satu kenyataan, berkata letupan di klinik Sina At'har itu disusuli kebakaran dan unit perubatan dikerah ke sana.

"Setakat ini, 13 mangsa disahkan maut dan enam yang cedera sudah dipindahkan ke sebuah hospital," katanya.

Ketua Polis Tehran, Hossein Rahimi, memberitahu AFP bahawa 10 daripada mangsa terbabit adalah wanita.

Menurut jurucakap jabatan bomba Tehran, Jalal Maleki, letupan berlaku akibat tong gas di ruang bawah tanah terbakar.

"Ada antara mangsa berada di tingkat atas dalam bilik pembedahan termasuk pesakit dan anggota keluarga yang menemani mereka.

"Malangnya, mereka kehilangan nyawa akibat haba yang tinggi dan asap tebal. Api berjaya dipadamkan selepas dua jam," katanya.

Tragedi itu menyusuli letupan berdekatan kompleks tentera empat hari lalu, yang menggegarkan ibu negara Iran itu.

Kementerian Pertahanan Iran berkata ia berlaku di Parchin, kawasan di timur laut Tehran, juga akibat kebocoran tangki gas tetapi tiada mangsa dilaporkan.

Parchin sudah lama disyaki menjadi pusat ujian kuasa nuklear walaupun dinafikan pihak berkuasa Iran.

Ia pernah di periksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IAEA) pada 2015.

Iran tidak membenarkan IAEA memasuki kawasan itu tetapi ketua agensi terbabit ketika itu, mendiang Yukiya Amano, difahamkan pernah melawatnya. - AFP