--> Skip to main content

Lembu mandi sebelum dikorbankan

KARACHI: Dalam pada umat Islam menyambut kedatangan Aidiladha esok, sebuah pusat mencuci kereta di pusat bandar itu kelihatan sibuk dan sesak menjalankan perniagaan membersihkan lembu.

Pusat mencuci kereta dimiliki oleh seorang lelaki bernama Sheikh Sagheer itu dibanjiri penduduk tempatan yang membawa lembu, kambing dan kambing biri-biri bagi kerja pembersihan sebelum haiwan itu disembelih melalui ibadah korban sempena Aidiladha, esok.

Sagheer, 42, berkata bagi perkhidmatan mencuci haiwan itu mengenakan caj sebanyak 100 rupees (RM2.50) menggunakan paip tekanan tinggi, dibasuh dengan sabun, menggosok dan membilas.

Katanya, khidmat membersihkan haiwan itu disediakan sejak beberapa tahun lalu.

"Orang ramai yang melihat saya membersihkan haiwan kemudiannya datang bersama haiwan masing-masing...begitulah bagaimana ia bermula, " kata Sagheer kepada AFP.

Kebanyakan haiwan itu datang dari pasar besar di pinggir Karachi, yang terkenal sebagai pasar ternakan raya terbesar di Asia yang mana ia dipenuhi dengan kambing, lembu, kambing biri-biri dan unta.

Haiwan ternakan itu kebiasaannya kotor, berdebu dan terdapat tompokan kotoran selepas ia dihantar ke pasar.

Sagheer berkata, adalah penting untuk haiwan itu dibersihkan terutamanya ketika wabak COVID-19 sedang melanda kini.

"Saya menjadikannya sebagai salah satu sebab kepentingan kerja pembersihan haiwan dengan pembasmi kuman, " katanya.

Seorang pelanggan, Mohammad Uzair, yang membawa lembu berwarna kelabu menyatakan bayaran yang dikenakan adalah murah.

"Caj adalah 100 rupees sahaja dan ia bukannya apa-apa, " katanya.

Menurut Persatuan Penyamak Kulit Haiwan Pakistan, antara lapan hingga 10 juta haiwan dikorbankan sempena Aidiladha di seluruh negara.