--> Skip to main content

Lelaki disyaki bawa dadah pandu melulu ke arah polis

KUALA LUMPUR: Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah kereta disyaki dipandu suspek membawa dadah di tepi jalan besar Kepong menghala ke Jinjang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, kereta jenis Toyota Yaris dipandu seorang lelaki tempatan itu pada mulanya diekori kenderaan anggota dan pegawai preman daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur dari Taman Tun Dr Ismail.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata setiba di tepi jalan besar Kepong, pihak polis membuat halangan menggunakan dua kenderaan pasukan di bahagian hadapan dan belakang kereta suspek.

Katanya, seorang pegawai kemudian meluru ke kenderaan suspek dengan menjerit 'polis' dan menunjukkan kad kuasa polis.

Bagaimanapun, beliau berkata, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan secara melulu ke arah pegawai polis terbabit.

Dalam situasi itu, katanya, pegawai polis terbabit melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek untuk mempertahankan diri.

"Pegawai polis terbabit juga bertindak demikian untuk memberhentikan kenderaan berkenaan supaya tidak membahayakan keselamatan awam, namun suspek berjaya melepaskan diri.

"Hasil siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat kereta sewa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek diteruskan.

Orang ramai yang ada sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan.