--> Skip to main content

Lebih 7.7 juta peminjam nikmati moratorium RM38.3 bilion

KUALA LUMPUR: Lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman bernilai RM38.3 bilion sejak berkuat kuasa, 1 April lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dalam tempoh sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95 peratus menerima manfaat sama daripada moratorium terbabit bernilai RM20.7 bilion.

"Sejak pembukaan ekonomi secara berperingkat pada Mei lalu dan kemudiannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti ekonomi di seluruh negara dilihat semakin rancak.

"Kini, ada individu dan perniagaan mampu membayar semula pinjaman mereka. Jumlah peminjam individu meneruskan bayaran ansuran pinjaman dan tidak mengambil kemudahan moratorium meningkat daripada 331,000 peminjam pada April lalu kepada 601,000 peminjam pada Julai.

"Bagi tempoh sama, jumlah peminjam PKS yang memilih untuk tidak mengambil kemudahan ini meningkat daripada 5,000 kepada 13,000 peminjam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Lanjutan Moratorium Dan Bantuan Bank Bersasar di Putrajaya dekat sini, hari ini.