--> Skip to main content

Kuza kini ibu tunggal

KUALA LUMPUR: Pelakon berpengalaman, Kuza, 47, jarang berkongsi kehidupan peribadi, sejak dahulu lagi.

Bekas finalis Dewi Remaja 1990/91 bersama dengan Jasmin Hamid dan Didie Alias itu lebih selesa berbicara mengenai kerjaya seninya, berbanding soal peribadi yang menjadi prinsip hidupnya.

Bagaimanapun, pemilik nama, Tengku Sariza Tengku Muzani itu tidak menyembunyikan rahsia kini bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan bekas suami, Ramyus Sidique sejak setahun lalu.

"Saya kini bergelar ibu tunggal, sejak setahun lalu. Perkahwinan saya dengan Ramyus hanya bertahan selama 12 tahun. Itu sahaja yang saya dikongsi.

Kuza tidak menyembunyikan rahsia kini bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan bekas suami, Ramyus Sidique, sejak setahun lalu. - Foto IG Kuza Kuza tidak menyembunyikan rahsia kini bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan bekas suami, Ramyus Sidique, sejak setahun lalu. - Foto IG Kuza

"Saya sememangnya menjaga hal peribadi sebagai privasi. Saya hanya akan berkongsi sekiranya sesuatu perkara perlu diketahui orang.

"Jika saya rasa tak perlu, lebih baik saya simpan untuk diri sendiri dan keluarga kerana anak saya juga memerlukan privasi. Jadi, saya kena hormat pendirian anak untuk mereka menghormati saya," katanya kepada BH Online.

Kuza mendirikan rumah tangga bersama Ramyus pada 2007. Menerusi perkahwinan berkenaan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Bagaimanapun, pelakon yang menempa nama menerusi filem Shakila pada 1991 itu mempunyai tiga cahaya mata, hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nizam Firdaus, 26, Puteri Nazihah, 25, dan Puteri Nadia, 15.

Dalam perkembangan lain, Kuza baru sahaja menyelesaikan penggambaran drama Pelangi Hati.

Kuza bersyukur tawaran lakonan tidak putus, tetapi seperti pelakon lain, Kuza berkata, dia berehat pada dari dunia lakonan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Disebabkan banyak masa terluang ketika PKP, saya cuba buat biskut tart resipi ibu. Saya memberi keluarga untuk merasa pada Aidilfitri lalu. Alhamdulillah, mereka kata ia seperti hasil tangan ibu saya.

"Saya memberikan kru produksi merasa ketika penggambaran drama Pelangi Hati. Mereka juga memuji keenakannya. Dari situ, saya merancang menjalankan perniagaan biskut tart yang diberi nama Yummy Tart.

"Saya baru nak memulakan dan doakan perniagaan ini dipermudahkan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk Ali Zahra Madeena, semalam.