Skip to main content

Kuarantin wajib sejurus tiba di Malaysia mulai Jumaat ini

Oleh Rohaniza Idris

[email protected]

KUALA LUMPUR: Semua warga asing dan rakyat Malaysia yang baru tiba atau pulang dari luar negara, diwajibkan menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen ditetapkan, sejurus tiba mulai Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP, hari ini.

Katanya, mereka yang terbabit dengan kuarantin itu perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di stesen kuarantin sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai Stesen Kuarantin.

"Susulan keputusan ini, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia tidak lagi diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 di negara asal dalam tempoh tiga (3) hari sebelum tarikh penerbangan,

"Namun, bagi warga asing mereka perlu membuat ujian saringan tiga hari di negara asal masing-masing" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Parlimen di sini, hari ini