Skip to main content

KPDNHEP rampas 1,750 pelitup separuh muka tiruan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 1,750 keping pelitup separuh muka tiruan dalam satu operasi di sebuah premis di Puchong, dekat sini, semalam.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun turut ditahan, disyaki menjual pelitup separuh muka tiruan berkenaan secara dalam talian.

"Empat pegawai penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya telah menyamar sebagai pembeli dan berhubung dengan penjual sehingga membawa kepada lokasi pembungkusan pelitup separuh muka.

"Operasi telah dijalankan susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar bagi pelitup separuh muka muka jenama Cross Protection yang mengesyaki barangan berkenaan yang dijual secara dalam talian adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata hasil serbuan telah merampas sebanyak 35 kotak jenama berkenaan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,575.

Katanya modus operandi suspek ialah dengan membeli pelitup separuh muka tanpa jenama daripada China dan membuat pembungkusan semula.

Iskandar Halim berkata permohonan reman ke atas suspek berkenaan telah dibenarkan oleh mahkamah bermula hari ini sehingga Jumaat selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah," katanya. – BERNAMA