--> Skip to main content

Kontraktor didenda RM24,000

KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang kontraktor membenarkan empat warga asing tanpa permit berada di premisnya membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM24,000, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Roslan Mohamad, 47, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Mahkamah turut mengarahkan Roslan dipenjara empat bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa sebagai penduduk tempatan membenarkan empat warga asing berusia antara 18 hingga 47 tahun, tinggal dan masuk di premisnya di sebuah tapak projek membina dan menyiapkan 68 unit rumah teres dua tingkat di mukim Kubang Parit, di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.10 tengah hari, 28 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, Roslan berdepan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin dijumpai di dalam premis, jika sabit kesalahan.

Hakim Nooriah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap warga asing itu itu yang berada di premisnya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias dan tertuduh tidak diwakili peguam.