--> Skip to main content

KOM tunai janji lunas insentif

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini mengotakan janji apabila menjelaskan bayaran insentif rekod baharu dan insentif Sukan SEA Filipina 2019 membabitkan sebanyak RM12,750 kepada beberapa atlet kebangsaan.

Jaguh baling tukul besi negara Jackie Wong yang memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sebanyak tiga kali sepanjang 2019 menerima RM3,000, sementara atlet maraton K Prabudass, Iskandar Alwi (lompat bergalah) dan Andre Anura Anuar (lompat jauh) masing-masing menerima RM1,000.

Bagi atlet yang menyumbang pingat di Sukan SEA, KOM memberikan insentif sebanyak RM2,000 masing-masing kepada jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa dan jaguh paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli, manakala atlet acara 800 meter (m) Royson Vincent menerima RM1,000; atlet lompat bergalah Iskandar (RM1,000) dan Nixson Kennedy (4x100 m) RM750.

Presiden KOM Datuk S M Muthu berkata badan sukan itu sentiasa menghargai sumbangan atlet kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dan tidak mahu melihat masalah berhubung insentif menjejaskan semangat barisan atlet.

"Insentif tersebut diharap dapat menjadikan mereka lebih bersemangat dalam memburu kejayaan musim depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat KOM di sini, semalam.

Sementara itu, Iskandar yang mencipta rekod baharu kebangsaan acara lompat bergalah dengan catatan 5.31 m pada 2018 berkata insentif tersebut memberi dorongan kepadanya untuk terus bekerja keras meskipun tidak menyertai mana-mana kejohanan susulan pandemik COVID-19.

"Sudah tentu saya gembira, RM2,000 siapa nak bagi. Ini ibarat rezeki dari langit," katanya.

Turut senada ialah Andre Anura yang sebelum ini melahirkan kebimbangan apabila masih belum menerima insentif tersebut selepas melakar rekod baharu dalam acara lompat jauh dengan catatan 8.02 m pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, Disember lalu.

"Bila dapat insentif ini saya rasa lega sebab sudah tunggu lama," katanya.

Bernama difahamkan KOM memberi bayaran insentif sebanyak RM1,000 bagi rekod baharu kebangsaan yang dicipta atlet negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

KOM juga menjanjikan bayaran insentif RM3,000 kepada atlet olahraga yang merangkul pingat emas pada Sukan SEA Filipina, serta masing-masing RM2,000 dan RM1,000 untuk pingat perak dan gangsa.

-- BERNAMA