--> Skip to main content

Kolej Matrikulasi, IPG dibuka semula Ogos dan September depan

KUALA LUMPUR: Kolej Matrikulasi akan dibuka semula bulan depan, manakala Institut Pendidikan Guru (IPG) pada September tertakluk kepada garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan kerajaan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi pembukaan semula Kolej Matrikulasi, proses pendaftaran akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari 3 hingga 7 Ogos depan.

"Proses pendaftaran pelajar Kolej Matrikulasi ini membabitkan 30,000 pelajar di 15 kampus.

"Jadi, bagi mengelakkan tempat pendaftaran diserbu serentak, pihak Kementerian Pendidikan menetapkan pendaftaran secara berperingkat.

"Pembelajaran hanya akan bermula seminggu selepas proses pendaftaran," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, IPG yang akan dibuka semula September ini akan membabitkan 5,000 pelajar baharu dan 8,000 pelajar sedia ada.