--> Skip to main content

KL-Gua Musang ambil masa 9 jam

GUA MUSANG: Jalan utama Gua Musang menuju ke Kota Bharu mulai sesak pagi ini berikutan perantau pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha.

Tinjauan BH mendapati ramai berhenti rehat di Hentian Gua Musang Jalan Kuala Lipis dan Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Kuala Krai.

Perantau, Sulaiman Alias, 46, berkata, walaupun cuti Aidiladha tidak panjang, dia dan keluarga tetap pulang untuk melepas rindu bersama keluarga selepas empat bulan berdepan halangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami bertolak dari Kuala Lumpur jam 1 pagi tadi dan tiba di bandar ini jam 9 pagi ini mengambil masa sembilan jam perjalanan berbanding hari biasa empat jam sahaja.

"Apapun kami bersyukur perjalanan berjalan lancar walaupun lebih banyak berhenti rehat di kawasan disediakan asalkan dapat sampai ke kampung dengan selamat," katanya.

Sementara itu, Kadir Abdullah, 52, berkata, pelepasan kerajaan rentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (KPKPP) ini sudah memberi banyak kelegaan.

Katanya, soal kesesakan di sepanjang perjalanan itu sudah menjadi perkara biasa pada musim perayaan dan boleh dihadapi dengan sabar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufi Maidin mengesahkan keadaan trafik di Jalan Kuala Lipis dan Kuala Krai bertambah sesak.

Bagaimanapun, katanya, ia terkawal apabila beberapa anggota trafik ditugaskan untuk memantau keadaan itu supaya semua kenderaan berjalan lancar.