--> Skip to main content

Khabib, Gaethje sah bertarung 24 Oktober ini

LONDON: Dana White mengesahkan Khabib Nurmagomedov akan bertarung dengan Justin Gaethje pada 24 Oktober ini.

Pertarungan ini adalah yang pertama selepas bapa dan juga pelatih Nurmagomedov, Abdulmanap meninggal dunia di sebuah hospital di Moscow awal bulan ini susulan komplikasi COVID-19.

Peristiwa mendukacitakan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan peminatnya yang tertanya-tanya bilakah juara lightweight itu bakal kembali beraksi.

Kini, persoalan itu sudah terjawab dan hanya menunggu masa selepas presiden UFC, White mengumumkan khabar gembira itu.

"Dia melalui detik yang saat sukar. Bapanya adalah seorang wira buat dirinya, dia menyayangi bapanya, mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dan ia menjadi sesuatu yang sukar untuknya," kata White.

Spekulasi turut bertiup kencang menyatakan yang Nurmagomedov akan mengambil langkah persaraan daripada sukan tempur itu.

Meskipun White tidak mengesahkan lokasi pertarungan itu bakal diadakan namun dia yakin detik itu akan tiba.

"Ia akan berlaku, sekarang saya memberitahu kepada kamu. Pertarungan itu akan berlaku nanti," kata White.

Nurmagomedov dijadual mempertahankan gelarannya dengan menentang Tony Ferguson awal tahun ini, namun pertarungan terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Ia adalah kali kelima diwar-warkan sejak Disember 2015 yang gandingan itu akan memasuki gelanggang namun terpaksa dibatalkan.

Gaethje ketika itu menggantikan tempat Nurmagomedov dan menunjukkan aksi menakjubkan untuk menewaskan Ferguson pada Mei.

- AGENSI