--> Skip to main content

Kepa menghitung hari

LONDON: Kepa Arrizabalaga bimbang dia mungkin sudah beraksi dalam perlawanan terakhirnya buat Chelsea.

Penjaga gol bermasalah itu dijangka akan diketepikan daripada final Piala FA awal pagi Ahad ini berdepan Arsenal dan digantikan Willy Caballero, 38.

Dan pemain itu percaya dia tidak akan kembali mendapat tempat bagi saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Bayern Munich seminggu kemudian.

Ketika Chelsea ketinggalan 3-0 selepas perlawanan pertama, ia mungkin akan menjadi perlawanan terakhir kelab itu musim ini.

Kepa, 25, kini menanti nasibnya sama ada akan dijual oleh Frank Lampard pada perpindahan pemain.

Chelsea dikaitkan dengan sebahagian pemain utama Eropah selepas musim yang sukar buat penjaga gol termahal dunia itu.

Penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak; penjaga gawang Burnley, Nick Pope malah bintang Bayern, Manuel Neuer juga dikaitkan sebagai pengganti.

Penjaga gol Borussia Dortmund, Roman Burki juga dikaitkan sehingga dia menandatangani perjanjian baharu bersama kelab Bundesliga itu. - Agensi