Skip to main content

Kenakan hukuman lebih berat pada penganjur himpunan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengenakan hukuman lebih berat kepada beberapa penganjur perhimpunan baru-baru ini, yang gagal memastikan peserta mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata kerajaan juga wajar melarang sebarang bentuk perhimpunan buat masa ini, memandangkan jumlah kes baharu COVID-19 menunjukkan peningkatan.

"Himpunan perlu kembali dilarang. Ketika ini, ada pihak yang mengambil peluang atas kelompongan prosedur operasi standard (SOP), hingga berlaku pelanggaran penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan sebagainya dalam himpunan ini.

"Mereka yang menganjurkan perhimpunan ini mungkin ada kepentingan tertentu, tapi hakikatnya kepentingan kesihatan awam mengatasi segalanya.

"Saya mencadangkan hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada penganjur kerana jika berlaku penularan COVID-19 dalam kalangan peserta, implikasinya berat kepada seluruh negara," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan perlu melarang sebarang bentuk himpunan buat masa ini, susulan pelanggaran SOP yang serius dalam kalangan penyokong Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang berhimpun di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, kelmarin.

Selain itu, turut dibangkitkan ketika ini adalah himpunan membabitkan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah, serta himpunan anggota PKR pada Konvensyen Penerangan parti itu baru-baru ini, yang turut dikatakan melanggar SOP penjarakan sosial.

Sementara itu, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, khuatir himpunan itu bakal mencetuskan masalah baharu kepada kerajaan jika ia menyumbang kepada penularan dan kluster baharu COVID-19.

"Adalah malang apabila peserta perhimpunan di hadapan mahkamah tidak mematuhi SOP walaupun sudah diminta berbuat demikian.

"Kita hanya mampu tunggu dan lihat sama ada peserta himpunan ini akan menyumbang kepada kes baharu atau tidak," katanya.