--> Skip to main content

Kealpaan punca kes COVID-19 terus meningkat di Asia

SYDNEY: Peningkatan kes COVID-19 di Asia menepis andaian bahawa rantau ini sudah terlepas daripada tahap ancaman paling buruk.

Ini berikutan Australia dan India hari ini melaporkan jangkitan harian tertinggi virus itu manakala Vietnam masih berusaha membendung gelombang jangkitan baharu.

Sebahagian besar negara Asia ketika ini berbangga kerana berjaya menangani pandemik COVID-19 dengan baik sejak ia muncul di China akhir tahun lalu, namun peningkatan mendadak pada bulan ini menunjukkan keadaan bakal berubah.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, memberitahu wartawan bahawa semua pihak harus berhati-hati dan tidak terlalu selesa sehingga menganggap Australia kebal daripada COVID-19.

Australia merekodkan jangkitan baharu harian melebihi 700 dan sekurang-kurangnya 13 kematian, kebanyakan di negeri Victoria.

Negara itu mencatatkan 16,298 kes sejak pandemik berkenaan bermula, dengan 189 kematian, lebih separuh daripadanya berlaku di Victoria dan ibu negeri, Melbourne, yang kini di bawah perintah berkurung.

Vietnam, yang bebas virus selama tiga bulan, turut dilanda kebimbangan selepas virus itu semakin menular di enam bandar dan wilayah hanya dalam tempoh enam hari, susulan penyebaran di Danang.

Kementerian Kesihatan Vietnam melaporkan, enam jangkitan tempatan disahkan berlaku dikaitkan penyebaran di Danang, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 42 sejak hujung minggu lalu.

Jangkitan turut berlaku di ibu negara, Hanoi, di selatan Ho Chi Minh City dan Central Highlands.

India melaporkan lebih 52,000 kes jangkitan harian baharu dalam tempoh 24 jam, yang tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan 1,587,982 jangkitan termasuk 35,035 kematian setakat hari ini.

China melaporkan 105 kes baharu harian, meningkat berbanding 101 kes pada hari sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan 84,165 jangkitan termasuk 4,634 kematian akibat COVID-19 setakat hari ini. - AGENSI