Skip to main content

Juventus menang selesa di Genoa

ROME: Juventus mengekalkan kelebihan empat mata di persada Serie A awal pagi tadi selepas menang 3-1 di Genoa seterusnya mencipta jurang dengan Lazio yang bangkit mengatasi Torino.

Tiga gol individu menakjubkan daripada Paulo Dybala, Cristiano Ronaldo dan Douglas Costa membenam pasukan diancam penyingkiran, Genoa dan meletakkan skuad kendalian Maurizio Sarri di landasan tepat untuk memberikan Juve gelaran kesembilan berturut-turut pada musim pertamanya selaku jurulatih.

Andrea Pinamonti kembali mendapatkan satu gol berbaki 14 minit perlawanan buat tuan rumah yang kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran dan ketiga di atas pasukan terbawah, Lecce yang akan menanti kehadiran Sampdoria esok.

Gol Pinamonti adalah jaringan pertama dilepaskan Juve sejak tewas kepada Lyon pada lewat Februari tetapi ia tidak cukup untuk menghalang juara bertahan itu daripada mencipta kemenangan keenam berturut-turut dalam liga.

Kemenangan di Stadio Luigi Ferraris menampilkan kekuatan dimiliki Sarri, dengan penjaga gol Genoa, Mattia Perin melakukan lima aksi menyelamat pada babak pertama ketika Juve cuba mencari kelebihan awal.

Dybala meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-50 dengan penyudah cantik yang mengubah rentak untuk keseluruhan permainan.

Ronaldo, yang tampak kehilangan rentak selepas sambungan semula liga akibat COVID-19, menunjukkan dia kembali ke tahap terbaik apabila meledak mengatasi Perin.

Pemain gantian, Costa kemudian mengambil bola dari bahagian kanan dan melencongkan bola yang mengelirukan Perin. - AFP

Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (kanan) mengawal bola dari tiga pemain Genoa. - Foto AFP Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (kanan) mengawal bola dari tiga pemain Genoa. - Foto AFP