--> Skip to main content

Juve tumbang di tangan Cagliari

MILAN: Juventus tewas memalukan 2-0 kepada Cagliari sebentar tadi sehari selepas mengesahkan gelaran kesembilan berturut-turut Serie A selain menanti saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Pemain Cagliari berusia 20 tahun, forward Luca Gagliano membuka jaringan lapan minit selepas bermain pertama kali dalam Serie A, menewaskan penjaga gol veteran Juventus, Gianluigi Buffon bagi gol pertamanya di liga utama.

Penyerang muda Itali itu kemudian mengumpan buat gol Giovanni Simeone pada penghujung babak pertama bagi memberikan Cagliari kemenangan pertama berdepan Juventus dalam 11 tahun.

Cristiano Ronaldo terlepas peluang untuk mengejar penjaring terbanyak Serie A, Ciro Immobile dengan pemain Portugal itu kini ketinggalan empat gol di belakang penyerang Lazio itu yang mengumpul 35 gol berbaki satu perlawanan.

Jaringan pemenang lima kali Ballon d'Or itu dibatalkan kerana ofsaid selepas 16 minit dan dua kali dinafikan penjaga gol Cagliari, Alessio Cragno ketika pasukan tangga ke-13 dari Sardinia itu menamatkan rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan mereka.

Ia persembahan membimbangkan buat skuad kendalian Maurizio Sarri yang hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir mereka.

Penyerang utama mereka, Paulo Dybala dan Douglas Costa bertarung untuk mendapatkan kecergasan menjelang saingan Liga Juara-Juara berdepan Lyon pada 7 Ogos di Turin, ketika mereka perlu menukar defisit 1-0 pada perlawanan pertama. - AFP