--> Skip to main content

Juruteknik maut kereta bertembung lori MBSP

BUTTERWORTH: Seorang juruteknik maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan bertembung dengan lori Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Jalan Siram, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 9.30 pagi itu, Loh Chee Wei, 48, dipercayai mengalami serangan jantung hingga menyebabkan gagal mengawal kenderaan Toyota Avanza dipandunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pada ketika itu mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Nyior menghala ke Raja Uda.

"Apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta mangsa kemudian bertembung dengan sebuah lori milik MBSP yang sedang melakukan kerja-kerja menyiram pokok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Dalam kemalangan itu, pemandu lori berusia lingkungan 40-an cedera di kaki dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafinaz Abd Aziz di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau hadir mana-mana balai polis berhampiran.