--> Skip to main content

Jam 6.30 pagi sudah tiba di jeti sekolah

TUMPAT: Jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, di sini kembali 'meriah' di waktu pagi dengan kehadiran bot enjin yang bertali arus menghantar murid Tahun Satu dan Empat yang kembali memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Seawal jam 6.30 pagi lagi sudah kelihatan murid Tahun Satu hingga Enam termasuk Prasekolah turun dari bot yang dipandu ahli keluarga majoritinya ibu yang tidak kekok mengendalikan bot.

Bagi murid Tahun Dua, Nur Lisa As Syifa Abdullah, 8, perasaan terujanya kembali ke sekolah pada hari ini dapat dilihat sebaik turun dari bot yang dipandu ibunya, Rosmawani Mat Yusof, 40 dalam wajah yang ceria.

"Pagi tadi saya bangkit awal kerana ingin bersiap memandangkan saya perlu menaiki bot ke sekolah dan perjalanannya lebih kurang 15 minit dari rumah di Kampung Pulau Suri.

"Agak seronok melihat suasana sungai yang kembali dipenuhi bot yang dinaiki kami, yang sudah lama bercuti dan saya tidak sabar untuk kembali berjumpa rakan," katanya ketika ditemui di sekolah terbabit, hari ini.

Tinjauan jam 6.30 pagi tadi, kelihatan banyak bot yang bukan sahaja dipandu ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing tapi juga ramai pelajar sekolah menengah yang 'memecut' pengangkutan air itu untuk ke sekolah di tanah besar sebelum parkir bot mereka di jeti Kok Majid, di sini.

Murid SK Pulau Beluru, teruja memulakan semula sekolah hari ini.- Foto/ Nik Abdullah Nik omar Murid SK Pulau Beluru, teruja memulakan semula sekolah hari ini.- Foto/ Nik Abdullah Nik omar

Guru Besar SK Pulau Beluru, Mohd Azman Hussain, berkata pihaknya menjalankan persediaan rapi untuk menerima kedatangan murid Tahun Satu hingga Empat pada hari ini.

Malah sedikit penambahbaikan juga dibuat.

"Kami menambah satu lagi laluan iaitu khas untuk murid Tahap Satu untuk pemeriksaan suhu dan beratur menuju ke kelas masing-masing sebaik tiba dalam kawasan sekolah menjadikan kesemuanya empat laluan termasuk PraSekolah.

"Untuk Tahap Dua, mereka diberikan masa sehingga jam 8 pagi untuk tiba di sekolah dan selesai proses pemeriksaan suhu manakala Tahap Satu termasuk Pra Sekolah pula 8.30 pagi.

"Bagi murid yang berulang-alik menaiki bot, mereka dibekalkan jaket keselamatan dan sebaik tiba di jeti pada waktu pagi mereka akan menyimpan jaket itu di tempat yang disediakan malah saya sangat menitikberatkan pemakaian alat keselamatan itu," katanya.

Suri rumah, Rahimah Abdullah, 43, rutinnya membawa bot enjin sejauh empat kilometer berulang-alik menghantar dua anaknya ke sekolah kembali bermula.

Dia yang tinggal di Pulau Che Tahir, berkata seorang anaknya, Muhammad Hafiq Aiman Mat Zahar, 11, sudah memulakan persekolahan pada minggu lalu dan 'penumpangnya' bertambah hari ini apabila seorang lagi anaknya, Muhammad Harris Hakimi, 7, kembali bersekolah.

"Harris kelihatan agak kekok untuk memulakan kembali sesi persekolahan pada hari ini tapi dalam masa yang sama kelihatan gembira selepas lebih empat bulan bercuti," katanya.