Skip to main content

Isu keselamatan Hong Kong kini di bawah bidang kuasa China

HONG KONG: Bidang kuasa China kini merangkumi kes jenayah serius berkaitan keselamatan negara di Hong Kong dengan pelakunya boleh dihukum penjara seumur hidup.

Ia antara peruntukan terkandung dalam teks undang-undang baharu yang diterbitkan semalam, selepas beberapa jam ia diluluskan.

Undang-undang kontroversi itu turut memberi kuasa untuk China menubuhkan sebuah badan keselamatan di ibu kota berkenaan, dikendalikan oleh pegawai yang tidak terikat dengan undang-undang tempatan.

Undang-undang baharu yang disifatkan sebagai langkah radikal itu dilihat turut memberi kesan kepada hubungan perundangan antara badan kehakiman Beijing dan Hong Kong.

Ia melarang empat jenis jenayah iaitu kegiatan subversif atau pemberontakan, pemisahan, keganasan dan campur tangan asing.

Terdapat tiga senario yang menjelaskan kebenaran untuk China mengambil alih pendakwaan, ini termasuk kes campur tangan asing yang rumit, kes berat dan ketika keamanan negara tergugat secara serius.

Agensi keselamatan negara dan Hong Kong boleh memohon untuk menyerahkan sesebuah kes kepada China dengan perbicaraannya dilaksanakan di Mahkamah Tinggi.

Tidak kira sama ada kekerasan digunakan atau berbentuk ancaman, pemimpin atau pelakunya akan dikenakan penjara seumur hidup atau penjara minimum 10 tahun.

Pemerintah Hong Kong tidak memiliki bidang kuasa ke atas agensi keamanan kebangsaan dan pegawainya ketika mereka menjalankan tugas yang diperuntukkan mengikut undang-undang baharu itu.

Selain itu, undang-undang berkenaan turut membenarkan kes tertentu dibicarakan secara tertutup tanpa juri di Kong Kong sekiranya ia mengandungi hal sulit berkaitan negara. - AFP