--> Skip to main content

Individu hilang pekerjaan dapat lanjutan moratorium 3 bulan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar khusus kepada rakyat yang hilang pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata lanjutan moratorium akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.

"Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank bergantung kepada situasi masing-masing.

"Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas dan berkurangan akibat pandemik COVID-19, bayaran ansuran akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, sebentar tadi.

Perdana Menteri berkata, keputusan berkenaan dicapai selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Gabenor Bank Negara Malaysia.