--> Skip to main content

Impak gelombang kedua COVID-19 dijangka lebih teruk - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Sikap 'tidak kisah' rakyat Malaysia terhadap bahaya COVID-19 boleh mengundang risiko dan menggagalkan semua usaha proaktif kerajaan dalam mengekang penularan virus itu.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sekiranya sikap negatif ini berlarutan, COVID-19 berupaya merosakkan hidup penduduk di negara ini pada skala yang belum dapat dilihat.

"Saya telah menyuarakan kebimbangan lebih awal bahawa masih terdapat rakyat Malaysia yang nampaknya alpa atau tidak mengendahkan arahan untuk memakai pelitup muka setiap kali mereka berada di khalayak ramai atau di tempat sesak.

"Ada yang kelihatan dengan pelitup muka di leher, bukan di muka mereka.

"Oleh itu, ancaman penyakit ini untuk muncul semula adalah jelas, seperti yang dapat dilihat di beberapa negara termasuk Australia, Korea Selatan dan Hong Kong apabila gelombang virus kembali dengan cepat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, secara tidak langsung negara juga berdepan risiko kehilangan rekod cemerlang meratakan keluk COVID-19 sehingga turut mendapat penghargaan di peringkat antarabangsa.

"Hasil daripada langkah yang cepat dan ketat diambil oleh kerajaan, Malaysia telah memiliki catatan meratakan keluk COVID-19.

"Kita telah mendapat penghargaan dari luar negara kerana proaktif dan konsisten dalam usaha membasmi virus berkenaan.

"Tetapi kini kita berisiko untuk kehilangan rekod yang cemerlang itu dan kemungkinan musuh (COVID-19) ini akan menyerang kembali," katanya.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan 13 kluster jangkitan COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Lam Thye berkata, amaran Perdana Menteri perlu dilihat secara serius dengan tidak berkompromi dalam mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Semua SOP telah ditetapkan dengan alasan yang kukuh dan SOP ini mesti dipatuhi.

"Fikirlah, rakyat Malaysia, sekiranya COVID-19 membuat kemunculan semula, kesan kali kedua ini akan lebih teruk daripada yang pertama.

"Kita semua tahu bagaimana gelombang pertama telah mempengaruhi kehidupan setiap warganegara Malaysia sejak tiga hingga empat bulan yang lalu," katanya.