Skip to main content

Ikan dari Amzon mengandungi tahap merkuri tinggi

SAO PAULO: Hampir satu pertiga ikan dari Amapa, di Amazon, Brazil mempunyai tahap merkuri yang tinggi disebabkan kegiatan perlombongan haram sekali gus ia berbahaya kepada manusia.

Mengikut kajian terbaharu berkaitannya, saintis Tabung Hidupan Liar (WWF) Brazil dan tiga institut penyelidikannya menemui tahap merkuri yang disifatkan sebagai mengejutkan pada lebih 400 ekor ikan yang dikumpulkan dari lima wilayah di Amapa, terletak di sempadan Guyana Perancis.

Kajian itu membabitkan kumpulan ikan yang diperoleh dari sistem sungai berhampiran dengan kawasan alam sekitar yang dilindungi.

"Tahap itu melepasi had keselamatan pada 77.6 peratus ikan karnivor, 20 poeratus omnivor dan 2.4 peratus herbivor, " kata mereka melalui kajian itu yang diterbitkan di Jurnal Kajian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Antarabangsa.

"Empat spesis dengan kepekatan merkuri tertinggi adalah antara yang paling banyak dimakan manusia di rantau ini. Jika salah satu spesis itu dimakan pada kadar lebih 200 gram boleh membahayakan kesihatan seseorang, " katanya.

Wakil WWF-Brazil, Marcelo Oliveira, berkata tahap merkuri yang tinggi di rantau ini disebabkan oleh perlombongan emas secara haram

"Kajian ini membawa kita kepada data yang agak genting mengenai tahap kehancuran disebabkan oleh perlombongan emas secara haram di Amazon.

"Kami sudah tahu aktiviti itu memusnahkan hutan dan kini kami baharu maklum bagaimana ia juga boleh menjejaskan kesihatan penduduk yang berada di situ, " katanya.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, berdepan kritikan kerana mendesak pembukaan tanah yang dilindungi di Amazon untuk perlombongan dan aktiviti pertanian.

Golongan aktivis berkata, tindakan itu hanya akan mempercepatkan proses pemusnahan hutan hujan terbesar di dunia itu- AFP