--> Skip to main content

Hanya 271 daripada 1,153 premis pengilangan berdaftar KKM

KUALA LUMPUR: Hanya 271 daripada 1,153 premis memproses air mineral semula jadi (AMS), air minuman berbungkus (AMB), air dari mesin jual air (MJA) dan ais dikesan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menyamai 23.5 peratus daripada jumlah premis itu dengan 882 lagi atau 76.5 peratus premis tidak mempunyai lesen.

Katanya, data itu diperoleh kementerian menerusi operasi khas penguatkuasaan bagi pelesenan (Ops Lesen) Lesen dijalankan serentak di seluruh negara pada 21 hingga 23 Julai yang lalu.

"Ops Lesen ini bertujuan bagi memastikan semua premis pengilangan AMS, AMB, Air dari MJA dan ais mempunyai lesen yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

"Sebanyak 389 MJA disita dan operasi empat premis ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan permohonan pelesenan.

"Sementara itu, sejumlah 48 notis dikeluarkan kepada pemilik premis pengilangan dan MJA yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.