Skip to main content

Guru, murid pra-sekolah seronok pergi sekolah

PORT DICKSON: Murid pra-sekolah Pusat Asuhan Tuas Islam (PASTI) Almukmin, Bandar Springhill ceria datang ke sekolah dengan memakai pelitup muka selepas lebih tiga bulan ditutup akibat pandemik COVID-19.

Mulai hari ini, kerajaan benarkan pembukaan prasekolah, tabika, tadika kerajaan dan swasta beroperasi semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu.

Guru PASTI Almukmin, Nur Azira Zaini, 24, berkata, jika sebelum ini ramai muridnya teruja bertanyakan bila mereka boleh ke sekolah tetapi hari ini mereka akhirnya dapat datang semula ke sekolah.

"Hari ini nampak sebahagian anak-anak murid seperti teruja walaupun terpaksa membiasakan diri mengikut cara norma baharu.

"Kami guru PASTI juga tidak ketinggalan perlu mengikut aturan SOP dan garis panduan yang sudah disediakan MKN agar terhindar dari penularan wabak penyakit berjangkit pendamik COVID-19 ini," katanya.

Sementara itu, Nur Izzara Amani Mohd Muslim, enam tahun, berkata suasana norma baharu seperti memulakan hari persekolahan baharu.

"Seronok bercuti tetapi bosan juga duduk lama-lama di rumah kerana tak ada lagi kawan-kawan untuk bermain.

"Pagi tadi saya bangun sendiri sebab tak sabar nak ke sekolah jumpa cikgu dan kawan-kawan," katanya.

Sementara itu, Pengurus PASTI Bandar Springhill, Abdul Fatah Zakaria berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi sejak dua minggu lalu untuk sekolah dibuka kepada hampir 100 pelajarnya.

"Kita mengikut semua SOP yang sudah ditetapkan MKN khusus untuk anak-anak murid PASTI yang bersekolah bermula hari ini.

"Bukan murid saja yang teruja, guru pun sama dan mereka sudah pun mula bekerja sejak dua minggu lalu membuat persiapan persekolahan yang bermula hari ini.

"Pihak kami sudah pun bersedia kerana murid tadika yang berusia dari empat hingga enam tahun bukan mudah menjaga dan mengawal mereka seperti penjarakan sosial terutama bila mereka jumpa kawan-kawan sebaya, tetapi kami sudah bersedia dan anggap ia adalah cabaran," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.