--> Skip to main content

Guardiola tempelak Arsenal

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menempelak Arsenal dengan mengakui dia tidak menghormati mereka di luar padang.

Skuad kendalian Guardiola disingkirkan daripada Piala FA pada separuh akhir oleh The Gunners pada Ahad lalu ketika menang 2-0 di Wembley.

Guardiola kagum dengan gaya permainan Arsenal di bawah kendalian bekas pembantunya, Mikel Arteta, tetapi ia berbeza dengan pandangannya mengenai kelab utara London itu di luar padang.

Kemarahan Guardiola terhadap Arsenal dipercayai akibat tindakan dilakukan lapan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) terhadap City sebelum kelab itu berjaya dalam rayuan mereka terhadap penggantungan dua tahun bermain dalam Liga Juara-Juara.

Kumpulan itu menulis kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), bagi memastikan sebarang usaha City untuk melengahkan penggantungan mereka ketika rayuan sedang dibuat, ditolak.

Penggantungan City dibatalkan oleh CAS awal bulan ini, namun Guardiola berkata: "Lawan sentiasa perlu dihormati dan diberi pujian, dan Arsenal, mereka menerimanya.

"Saya amat menghormati Arsenal di padang – tidak begitu di luar padang, di dalam padang memang saya hormat. Jadi saya ucapkan tahniah kepada mereka dan semoga mereka berjaya di final berdepan Chelsea."

- AFP