--> Skip to main content

FAM bagi cadangan kepada FIFA

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyuarakan beberapa pandangan dalam mesyuarat secara maya dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Antara yang dicadangkan beliau termasuk meminta badan induk dunia itu menimbangkan dua perkara iaitu membuka lebih banyak slot jawatankuasa tetap FIFA selain semua kejohanan belia peringkat umur dipertandingkan setiap tahun, bukan secara dwitahunan.

"Memandangkan FIFA mempunyai 211 negara anggota, saya mencadangkan agar FIFA membuka pintu kepada lebih ramai wakil negara anggota untuk dilantik menganggotai sembilan jawatankuasa tetap FIFA.

"Infantino menyambut baik cadangan ini dan mengatakan akan mengadakan dialog lebih terperinci berhubung perkara ini pada masa akan datang.

"Saya juga mencadangkan kejohanan belia di bawah naungan FIFA diadakan setiap tahun supaya setiap peringkat umur berpeluang beraksi dalam perlawanan kompetitif menerusi proses kelayakan dan pusingan akhir.

"Infantino membalas bahawa perkara ini sentiasa dalam perbincangan bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan ia bergantung kepada situasi semasa ketika ini terutama selepas Oktober," katanya.

Mesyuarat antara Infantino dan semua presiden bola sepak dari negara ASEAN berkenaan turut membincangkan berhubung pandemik COVID-19 dan FIFA tetap menekankan kesihatan semua pihak kekal menjadi keutamaan nombor satu dalam mendepani isu berkenaan.

Hamidin berkata, Infantino menggesa semua pihak perlu bekerjasama dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bola sepak yang ditetapkan negara masing-masing.

"Semua pihak perlu berhati-hati kerana setiap negara berdepan cabaran berbeza dalam mengekang COVID-19.

"Industri bola sepak seluruh dunia menerima impak COVID-19, maka penting buat kita dan setiap 211 negara dalam gabungan FIFA memastikan tiada rantaian baru membabitkan bola sepak," katanya.